
Dilema yang menghantui kerajaan sekarang ini ialah samada mahu terus menyelamatkan MAS (Syarikat Penerbangan Malaysia) atau biarkan ia ‘terhempas’ ke bumi; maksudnya menjual sahamnya dengan harga murah RM0.30 sen sesaham, satu pertiga dari nilai par.
Dengan kata lain mana yang lebih baik; MAS diswastakan atau pun pengurusannya terus diberi masa untuk menunjukkan prestasi yang baik dan kembali mencatat keuntungan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan harus mengundur diri dari industri penerbangan walaupun beliau tidak bersetuju MAS dijual dengan harga murah.
“Saya fikir kerajaan harus berundur dari industri penerbangan ini. Apa yang kerajaan harus lakukan ialah tidak menjualnya dengan menanggung kerugian.
“Tapi kerajaan harus menjualnya pada harga yang wajar kerana ia melibatkan wang pembayar cukai dan tambahan pula MAS merupakan sebuah syarikat awam tersenarai,” katanya pada forum Global Malaysia Series, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Bagaimanapun beberapa jam selepas itu, beliau mengeluarkan satu kenyataan dengan menyatakan “saya ingin memberi penjelasan buat masa ini kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menjual MAS.”
Berdasarkan kepada dua kenyataan beliau ini yang tidak selari, kita khuatir ada sesuatu yang tidak kena atau berlaku permainan wayang disebalik tabir atau wujud campur tangan politik peringkat tertinggi.
Untuk maklumat pembaca, dalam tempoh suku pertama tahun 2013, MAS mencatat kerugian sebanyak RM279 juta. Pada tahun 2012, MAS mengalami kerugian sebanyak RM433 juta, 2011 (RM2.2 bilion) dan 2010 (RM234 juta).
Sasaran pengambilalihan
Memandangkan harga sahamnya kini jatuh merudum, dengan jumlah pasaran yang diurusniagakan di Bursa Malaysia (market capitalisation) sebanyak RM5.2 bilion dan tunai di bank sebanyak RM3 bilion, ia kelihatan menarik dan memikat para pelabur serta menjadi sasaran pengambilalihan.
Dilemanya samada kepemilikan MAS harus dipulangkan kepada pihak swasta atau pengurusan yang dilantik Khazanah Nasional Berhad dan Kerajaan harus diberi masa untuk memulihkan kedudukan kewangannya.
Khazanah memiliki 69.4% dari MAS manakala Kerajaan memiliki saham emas (golden share) dan mempunyai hak samada mahu menjual syarikat penerbangan itu atau tidak.
Sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum ke 13 lagi, ada dua kumpulan yang berminat untuk membeli MAS. Salah satunya ada kaitan dengan Kumpulan Nadi dan seorang lagi bekas pengarah urusan MAS.
Kumpulan yang satu lagi terdiri daripada golongan profesional yang muda yang mendakwa mereka mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan.
Pembeli yang berminat itu ialah Tan Sri Ahmad Johan dari Nadi dan Tan Sri Syed Azman Ibrahim dari Kumpulan Weststar. Weststar kaya dengan wang tunai manakala Nadi, yang dimiliki oleh Mofaz Air mempunyai kepakaran.
Jika MAS tidak dijual, kita bimbang MAS sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus menjadi kuda tunggangan ahli-ahli politik, mengurus MAS seperti sebuah parti politik melebihi dari mengurusnya sebagai sebuah entiti perniagaan.
Sejarah MAS mencatatkan bahawa syarikat itu sentiasa berada dalam dunia perniagaan yang muram dan menjadi beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia dan sehingga setakat ini tidak nampak ada tanda-tanda syarikat penerbangaan itu akan kembali pulih dari ‘kesihatan’ kewangannya.
Krisis
Krisis kewangan MAS ini dapat kita kesan sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri lagi. Tindakan Dr Mahathir ‘menyuruh’ Tan Sri Tajuddin Ramli membeli saham-saham MAS menjadi tanda tanya sehingga hari ini.
Pada ketika saham berligar di sekitar harga RM3.80 sesaham, Dr Mahathir mengarahkan Tajuddin membelinya pada harga RM8.00 sesaham; harga premium yang melebihi satu kali ganda dari harganya.
Harga premium MAS yang tinggi ini selain menjadi isu kontroversial, telah membebankan Tajuddin hingga tidak tertanggung lagi dan ini menyebabkan beliau menjualnya kembali kepada pihak Kerajaan.
Keengganan Kerajaan menjual saham MAS dikhuatiri kerana mahu menjaga imej dan memelihara maruah negara dan bukannya untuk menyelamatkan wang rakyat.
Persoalannya berapa banyak lagi wang rakyat yang perlu dihabiskan untuk menanggung ‘biawak hidup’ ini, hanya semata-mata mahu menjaga imej dan maruah negara.
Barangkali langkah untuk membiarkan MAS ‘terhempas’ ke bumi (baca: menjualnya dengan harga yang murah) adalah satu keputusan yang lebih baik.
Ini demi untuk menyelamatkan wang rakyat ketika negara menghadapi masalah menanggung jumlah hutang negara yang tinggi dan sangat kritikal itu.