Sunday, 18 August 2013

‘Tak guna lihat saja...


Perniagaan dalam talian kini mula menjadi pilihan mereka yang berminat dengan dunia perniagaan dan ada antara mereka menikmati pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.
Sebenarnya, semua orang berpotensi menjalankan perniagaan seumpama itu dan boleh menawarkan pelbagai produk sama ada secara fizikal, digital atau perkhidmatan. Peluang meneroka bidang itu juga semakin banyak kerana penggunaan Internet di Malaysia terus mencatatkan peningkatan. 
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), statistik pengguna Internet pada 2011 menunjukkan terdapat hampir 17 juta pengguna di negara ini. Laman sosial seperti Facebook pula mencapai lebih 13 juta pengguna dengan purata individu menghabiskan masa melayari Facebook selama 22.3 jam seminggu. 

Ini kerana, ketika ini Facebook adalah medium paling berkesan dalam menyampaikan maklumat seperti produk terkini yang disampaikan melalui rakan sama minat yang menjadikan penyampaian maklumat itu dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tepat pada sasaran.

Ia juga menunjukkan aktiviti penjualan dan pembelian melalui Internet turut meningkat secara mendadak dengan sektor Internet pada 2010 menyumbang 4.1 peratus berbanding negara maju lain dengan kadar purata 3.4 peratus.

Dalam ekonomi digital kini, kita patut merebut peluang dalam perkembangan sektor Internet terutama dalam sektor e-dagang. Antara faktor yang menjadikan sektor itu mudah dimulakan antaranya kerana kos permulaan perniagaan lebih rendah, pemasaran lebih meluas dengan sasaran pengguna lebih spesifik, pengurusan perniagaan automatik dalam hubungan pelanggan dan kos pemasaran jauh lebih murah berbanding pemasaran konvensional. 

Dalam pemerhatian dan kajian Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), antara halangan utama kebanyakan orang ramai untuk mula menjual di Internet ialah seperti takutkan persaingan, tidak tahu produk apa hendak dijual, takut ditipu pembeli dan penjual lain serta tidak tahu menjual melalui Internet termasuk dari segi teknik dan strategi. 

Terdapat beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan untuk mengatasi masalah ini iaitu dengan belajar daripada mereka yang sudah melaluinya. 

Namun, kita perlu mengambil langkah untuk belajar daripada mereka yang terbabit dalam bidang sama dengan teknik dan sistem yang terbukti berkesan. 

Melalui cara ini, anda boleh mempercepatkan proses pembelajaran anda dan mengurangkan kos kewangan atau masa. Jika anda mempunyai duit simpanan untuk belajar, ia membolehkan anda mencapai kemajuan dengan lebih cepat namun, jika berdepan isu kewangan, maka belajar melalui pengalaman sendiri adalah cara terbaik. 

Selain itu, anda perlu mencari kumpulan rakan yang memiliki minat dan fikiran sama seperti anda. Kumpulan ini akan menyuntik semangat anda jika ada yang berjaya mencapai satu tahap yang baik. Sebagai contoh, sekiranya anda berjaya membuat jualan, mereka akan memberikan motivasi kepada apa yang anda buat. 

Kumpulan itu juga penting kerana anasir negatif di luar sana mungkin boleh menggugat keyakinan anda untuk meneruskan apa yang ada sudah mulakan. Sudah tentu ramai yang tidak menyokong atau tidak faham apa yang anda buat. Namun, dengan sokongan daripada kumpulan ini, anda pasti boleh meneruskan usaha sehingga mencapai kejayaan besar. 

Selain berada dalam kumpulan yang betul, usahawan juga perlu melalui proses buat dan baiki. Langkah paling penting adalah buat, buat dan buat. Anda mestilah buat apa yang anda pelajari dari buku, rakan, seminar atau ekspo yang anda hadiri. 

Secara keseluruhan, saya ingin tegaskan peluang berniaga di Internet ini sangat besar. Cuba perhatikan sekeliling anda dan anda akan lihat pelbagai jenama perniagaan muncul di Internet. Malah, anda sendiri mungkin semakin kerap membeli secara dalam talian. 

Walaupun peluang dalam bidang ini besar, namun ia tidak berguna jika anda hanya melihat dan tidak menjadi sebahagian daripadanya. Jangan terlalu memikirkan halangan kerana ia pasti akan wujud tidak kira sama ada perniagaan yang dilakukan melalui Internet atau kaedah konvensional.

No comments:

Post a Comment